Jumaat, 19 Jun 2009

Salam

Semua post lama sudah dipadamkan. Hari ini saya hadir dengan bahasa yang lebih melambangkan '1Malaysia'. Bahasa yang mungkin lebih difahami oleh semua insan yang boleh berbahasa Melayu. Ok, berhenti bercakap soal bahasa; matlamat saya di sini bukanlah untuk berceloteh tentang bahasa. Hal yang demikian biarlah kita serahkan kepada mereka yang pakar.

Bercerita tentang bundle sebenarnya sama seperti merenungi ciptaan-ciptaan Ilahi yang lain. Ia adalah kenikmatan, keindahan, kepuasan, kesenian malah denyut nadi kehidupan kepada sesetengah orang. KAKI BUNDLE sengaja diistilahkan kerana ia melambangkan kecintaan yang mendalam oleh peminat, pengikut, pembeli, pencari, penjual bundle di seluruh dunia.

Benarlah kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Hanya mereka yang 'pakar' sahaja akan bersama-sama dalam dunia bundle. Jangan sesekali menuduh kaki bundle ialah golongan yang tidak mampu membeli pakaian baru kerana 'cinta' itu abstrak sifatnya. Cinta kepada bundle menyebabkan kaki bundle lebih selesa berjalan di lorong-lorong sempit, bersesak-sesak di pasar malam atau berpanas di pasar sehari daripada mengunjungi pasaraya besar yang berhawa dingin.

Kaki bundle mewakili semua golongan masyarakat. Daripada yang berbasikal, menaiki kenderaan awam, sehinggalah kepada mereka yang berkereta mewah. Taraf hidup bukanlah syarat untuk menjadi kaki bundle. Jiwa bundle itulah yang melahirkan kaki bundle.

Maaf kalau saya akan lebih banyak bercerita tentang suasana bundle di negeri sendiri, Perlis Indera Kayangan. Sebuah negeri kecil jauh di utara tetapi kaya dengan keindahan bundle di serata pelosok negeri. Dengan tawaran harga yang memberikan nikmat membeli dan memiliki. Tanyalah mereka yang berasal atau pernah berkunjung ke negeri ini. Kalau pun bukan yang termurah, tetapi mungkin harga pasaran di sini antara yang termurah di Malaysia. Di kesempatan yang lain saya akan bercerita dengan lebih lanjut.

Ada tugasan yang perlu diselesaikan pagi ini, Harap kita akan bertemu lagi. Salam bundle dari utara. Di mana pun kita berada, jiwa kita tetap satu. Di mana bumi dipijak, di situ bundle dijulang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.