Jumaat, 26 Jun 2009

volcom



















70% cotton / 30% polyester
made in mexico
saiz M
condition 9/10
SOLD

Khamis, 25 Jun 2009

Letih...

Huaaarrrggghhhhh!!! Baru balik dari 'set' barang untuk ekspo. Start esok, 4 hari aku akan berbundle di ekspo. Mata dah berat nak bukak tapi sebelum tidur aku sajikan dulu antara baju kesayangan aku. Selamat menonton.

Mungkin dalam tempoh 4 hari ni aku akan menyepikan diri. Nak bercerita dari tapak ekspo pun aku takdak laptop. Broadband jauh sekali la. Semua main bantai pc nan satu ni saja. Sekejap turn aku. Pastu turn isteri tersayang. Pastu anak-anak nak main game. Pc inilah secara sedar ataupun tidak dah merapatkan hubungan kami sekeluarga.

Okeylah kaki-kaki semua, aku dah mengantuk tahap gaban ni. Eh, sesapa ada tshirt gaban bgtau aku aaa... Rare tu. Mesti gempak kalau aku pakai, hehe.. Dah la, esok kena bangun awal untuk memartabatkan bundle di atas muka bumi. Salam semua...

Selasa, 23 Jun 2009

Germany

Inilah jersi pasukan bola sepak pujaan aku, Germany. Aku beli dari kaki di pasar malam Kangar rasanya. Harga? Hmmmm, agak-agak berapa?

Aku tak pandai main bola. Tengok bola memang minat. Piala Konfederasi sekarang ni satu game pun aku tak tengok sebab Germany tak main. Final World Cup 1998 pun aku tak tengok sebab Germany terkalah awal. Mana-mana tournament pun aku layan setakat Germany layak saja. Fanatik tak aku?

Apa cerita bundle hari ni? Ok... Kalau ada yang pernah layan bundle di negeri aku mesti tahu betapa harga stuff di sini murah-murah belaka. Nak aku senaraikan brand dengan harga jualannya sekali? Hehe, jangan laaa. Nanti semua kaki bundle dari seluruh Malaysia berkumpul di sini. Pecah negeri aku yang kecik dibuatnya! Tapi hakikatnya memang barang-barang di sini kami jual murah. Bawa rm10 insyaAllah dah boleh dapat baju burberrys. Salah-salah rm5 pun dah cukup. Dan itulah jugak sebabnya peniaga bundle macam aku ni tak kaya-kaya. Dapat duit beli ketul, bukak ketul jadi duit. Dah jadi duit kena beli ketul pulak. Kesian kan?

Itulah hakikatnya berniaga di sini. Time raya atau cuti sekolah saja betul-betul boleh buat duit. Hari-hari biasa, kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Macam ayam la pulak..

Tapi itulah rezeki kami. Dan kami bersyukur menerima seadanya. Hati tetap gembira sebab pelanggan dapat memiliki apa yang diidamkan. Negeri-negeri lain aku tak tahu sangat. Kedah lebih kurang dengan negeri aku. Penang dah lain rasanya. Perak, KL, Johor pastinya lebih hebat.

Jualan malam ni? Alhamdulillah dapat la seratus dua. Banyak yang terjual pun baju yang 2 helai rm5. Daripada tak terjual langsung apa-apa, itu dah kira baik. Jangan pandai nak komplen saja.

Sebenarnya belum makan lagi malam ni. So aku nak selongkar periuk tengok apa yang ada untuk aku malam ni. Jumpa lagi.. Jangan lupa, teruskan sokongan terhadap industri bundle di tempat anda...

Isnin, 22 Jun 2009

Kisah benar

Ramai peniaga bundle yang merasa tempias kesan kegawatan ekonomi. Jumlah jualan di kebanyakan tempat bagi kebanyakan peniaga merosot. Inilah hakikat yang tidak dapat disembunyikan. Kalau dulu di pasar malam Kangar ada yang mencecah jualan sehingga rm700 ke rm800, tetapi sekarang rm400 pun dah kira banyak.

Sebenarnya kita perlu kembali kepada asas kehidupan. Soal rezeki, jodoh dan ajal semuanya ketentuan Ilahi. Kita hanya 'melaksanakan' apa yang telah ditetapkanNya. Dan kita perlu merenung kembali ke dalam diri. Adakah kita bersyukur ketika hasil jualan tinggi? Atau kita cuma tahu mengeluh ketika jualan merosot? Tepuk dada tanyalah diri sendiri...

Pembeli adalah raja dalam perniagaan. Namun janganlah kita bersikap terlalu menekan peniaga dengan meminta potongan harga yang keterlaluan. Ada pembeli pernah meminta potongan separuh harga daripada jeans berharga rm45 yang saya jual. Bak kata pepatah, buat tawaran berpada-pada, buat pembelian berjaga-jaga. Dan peniaga juga janganlah meletakkan harga yang keterlaluan. Biarlah harga berpadanan dengan barang. Pembeli sanggup membayar rm500, malah rm1000 pun tidak mengapa asalkan 'sedondon' antara harga dan barangan.

Yang penting, pembeli dan peniaga perlu saling memahami. Kedua-dua pihak sama-sama saling memerlukan. Barulah perjuangan untuk memartabatkan bundle di muka bumi akan berjaya...

Sabtu, 20 Jun 2009

Kalau terlajak ke utara

Kaki-kaki bundle yang sengaja atau tidak sengaja terdampar di bumi Perlis dijemput 'menjamu selera mata' di pasar malam atau pasar sehari berikut;
a) Selasa -pasar malam Kuala Perlis (10 peniaga bundle)
b) Rabu - pasar malam Kangar (14 - 18 peniaga)
c) Jumaat - pasar malam Arau (8 peniaga)
d) Ahad - pasar sehari Pauh (7 - 9 peniaga); pasar malam Titi Chai (4 - 5 peniaga)

Sebenarnya setiap hari pagi dan petang terdapat peniaga bundle yang berniaga di pasar-pasar. Saya cuma menyenaraikan tempat-tempat yang ramai peniaga dan menjadi tumpuan utama kaki bundle. Tidak kira kecil atau besar saiz perniagaan itu, kaki bundle tidak pernah memilih. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.

Untuk semua kaki bundle, teruskan memberi sokongan kepada peniaga-peniaga bundle. Jangan malu minta kurangkan harga, dan jangan marah kalau harga tidak dikurangkan!

Jumaat, 19 Jun 2009

Salam

Semua post lama sudah dipadamkan. Hari ini saya hadir dengan bahasa yang lebih melambangkan '1Malaysia'. Bahasa yang mungkin lebih difahami oleh semua insan yang boleh berbahasa Melayu. Ok, berhenti bercakap soal bahasa; matlamat saya di sini bukanlah untuk berceloteh tentang bahasa. Hal yang demikian biarlah kita serahkan kepada mereka yang pakar.

Bercerita tentang bundle sebenarnya sama seperti merenungi ciptaan-ciptaan Ilahi yang lain. Ia adalah kenikmatan, keindahan, kepuasan, kesenian malah denyut nadi kehidupan kepada sesetengah orang. KAKI BUNDLE sengaja diistilahkan kerana ia melambangkan kecintaan yang mendalam oleh peminat, pengikut, pembeli, pencari, penjual bundle di seluruh dunia.

Benarlah kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Hanya mereka yang 'pakar' sahaja akan bersama-sama dalam dunia bundle. Jangan sesekali menuduh kaki bundle ialah golongan yang tidak mampu membeli pakaian baru kerana 'cinta' itu abstrak sifatnya. Cinta kepada bundle menyebabkan kaki bundle lebih selesa berjalan di lorong-lorong sempit, bersesak-sesak di pasar malam atau berpanas di pasar sehari daripada mengunjungi pasaraya besar yang berhawa dingin.

Kaki bundle mewakili semua golongan masyarakat. Daripada yang berbasikal, menaiki kenderaan awam, sehinggalah kepada mereka yang berkereta mewah. Taraf hidup bukanlah syarat untuk menjadi kaki bundle. Jiwa bundle itulah yang melahirkan kaki bundle.

Maaf kalau saya akan lebih banyak bercerita tentang suasana bundle di negeri sendiri, Perlis Indera Kayangan. Sebuah negeri kecil jauh di utara tetapi kaya dengan keindahan bundle di serata pelosok negeri. Dengan tawaran harga yang memberikan nikmat membeli dan memiliki. Tanyalah mereka yang berasal atau pernah berkunjung ke negeri ini. Kalau pun bukan yang termurah, tetapi mungkin harga pasaran di sini antara yang termurah di Malaysia. Di kesempatan yang lain saya akan bercerita dengan lebih lanjut.

Ada tugasan yang perlu diselesaikan pagi ini, Harap kita akan bertemu lagi. Salam bundle dari utara. Di mana pun kita berada, jiwa kita tetap satu. Di mana bumi dipijak, di situ bundle dijulang!